PROLOG
‘Bismillahirrahmanirrahim.’
Itulah kata yang tercetus di bibir Raisya saat dia melangkah masuk ke perkarangan luar Masjidil Haram. Raisya melihat Menara Jam Makkah yang tersergam indah. Taburan ribuan bintang dan kehadiran bulan purnama malam itu dirasakan seolah pelengkap suasana di kota Makkah waktu itu.
Meski begitu ramai manusia di hadapan Raisya, namun lelaki yang bertugas sebagai mutawwif untuk rombongan umrahnya tetap mengawasi setiap jemaah dengan baik. Rombongan kecil yang terdiri daripada lapan orang jemaah itu bergerak bersama-sama menuju ke Masjidil Haram.
Sesekali lelaki itu menoleh ke belakang, memastikan tiada seorang pun jemaahnya yang tertinggal. Namun, perhatiannya sedikit lebih tertumpu kepada Raisya. Tidak terlalu rapat, tidak terlalu jauh. Lelaki itu tahu, emosi Raisya sedang kecamuk, dan sedang mencuba untuk mencari arah dalam kehidupannya.
Raisya mempercepatkan langkah mengekori rombongannya apabila gerombolan jemaah dari Turki menerobos sambil menolaknya. Entah sengaja entah tidak, tolakan itu hampir membuatkan Raisya terjatuh.
“Semua ok? Jangan terpisah daripada kumpulan ya,” pesan mutawwif itu sambil memastikan setiap jemaah masih berada dalam rombongan.
Raisya hampir mendengus, tetapi dia tahu dia perlu bersabar di Tanah Haram. Itu yang sering dipesan oleh ramai orang, malah ketika kursus umrah tempoh hari juga dipesan perkara yang sama.
Sesekali para jemaah memandang ke arah Raisya. Mungkin merasa agak aneh dengan pakaian yang digunakan oleh Raisya. Raisya buat keras. Dia tidak mahu tahu apa pandangan orang lain. Kerana apa yang dia tahu, dia mahu menunaikan impiannya. Impian bulan madunya.
Ya, Raisya siap menulis senarai impian bulan madunya. Di mana senarai pertamanya adalah menunaikan umrah dengan memakai baju nikahnya. Kelakar mungkin. Tapi bagi Raisya, ia adalah impian yang bakal menjadi memori terindah dalam hidupnya.
Baju nikahnya ringkas, sekadar jubah putih bertatah kristal Swarovski pada lace di hujung lengan. Tidak terlalu menonjol, tetapi tidak juga terlalu ringkas. Tudung Raisya juga lengkap menutup aurat. Jadi memang tidak salah untuk dia memakai baju tersebut sambil menunaikan impian bulan madunya.
Tetapi sebenarnya asal baju itu tidak begitu. Rekaan asalnya memang agak sarat. Namun mutawwifnya berpesan lebih baik dikurangkan kerana bimbang menjadi tabarruj.
Raisya tak faham. Tapi bila mutawwifnya mahu menerangkan, Raisya tidak mahu mendengar malah terus bersetuju dalam nada malas.
“Ya lah, saya kurangkan. Saya jadikan baju tu nanti simple je. Takyahlah membebel,” kata Raisya tempoh hari saat di Madinah, bila mutawwifnya tahu tentang impian bulan madunya itu. Mutawwifnya hanya tersenyum ketika dibidas oleh Raisya.
Ingatan tentang itu menghilang ketika Raisya ditegur oleh salah seorang petugas keselamatan di laluan menuju ke ruang solat Masjidil Haram. Petugas itu bercakap dalam bahasa Arab sambil menunjukkan ke arah sandal Raisya.
Mutawwifnya yang sedang mengawasi pergerakan rombongan menghampiri Raisya lalu memberitahunya agar membuka sandal dan memasukkannya ke dalam beg plastik yang dibawa.
“Kenapa tak cakap awal?” dengus Raisya sambil membuka sandalnya.
“Saya dah beritahu semua tadi, tapi mungkin awak tak dengar,” jawab mutawwifnya itu.
Raisya memasukkan sandalnya ke dalam beg plastik.
“Sini, saya tolong pegangkan,” pelawa mutawwifnya.
“Takyah.. saya bawak sendiri.”
Raisya pantas mengikat beg plastiknya lalu memasukkan ke dalam beg sandang di bahunya. Disumbatnya ke dalam beg yang dah memang sarat. Telefon saja ada dua. Dengan powerbank, cable charger, tisu, tisu basah, beg makeup, buku nota, dan berbagai barangan lain.
Raisya mula rimas dengan semua barang-barang itu.
“Kan saya dah pesan, bawa yang penting je,” ujar mutawwif itu.
“Ni semua penting,” jawab Raisya ringkas sedikit keras, meski dalam hatinya dia sendiri tidak tahu apa kepentingan membawa semua benda itu.
Mutawwif itu menghela nafas perlahan. Sesekali dia membetulkan baju ihramnya.
“Baik, semua ikut saya ya. Kita turun ke bawah,” pesan lelaki itu kepada rombongannya.
Raisya menepuk begnya seolah mahu mengempiskan sedikit keadaan begnya itu walaupun ia langsung tidak berubah. Raisya malas melayan begnya lagi lalu menyangkutnya di bahu dan mengekori jemaah lain.
Kelihatan bilangan jemaah semakin ramai. Mereka berjalan mengikut arah yang telah ditetapkan di sana.
Di satu ruang, mereka perlu menuruni ke tingkat bawah. Ada tangga dan eskalator. Mutawwif itu memberikan pilihan kepada jemaah sama ada mahu menggunakan tangga atau eskalator. Kebanyakan mereka memilih eskalator.
Raisya turut melangkah ke eskalator tanpa banyak soal.
Di saat Raisya turun, hatinya kosong. Dia hampir tidak tahu kenapa dia tetap ke sini. Ya, dia tahu itu adalah impian bulan madunya. Tapi… bulan madu tanpa suami? Merepek, getusnya.
Langkah Raisya mula perlahan ketika di kejauhan dia melihat sayup bangunan Kaabah tersergam indah di tengah-tengah perkarangan Masjidil Haram.
Beberapa jemaah dalam rombongannya mula melafazkan rasa syukur. Ada yang menangis perlahan, ada yang menadah tangan berdoa.
Mutawwif itu meminta semua jemaah berhenti sebentar untuk berkumpul sebelum memulakan tawaf.
“Baik, semua masih ingat apa yang saya terangkan tadi? Kalau ada yang tak pasti, boleh tanya saya ya,” pesannya kepada seluruh rombongan. Beberapa jemaah mengangguk.
Mutawwif itu kemudian memandang ke arah Raisya yang sejak tadi hanya berdiri memerhatikan Kaabah. Dia menghampirinya.
“Awak masih ingat pesan saya kan? Doa yang kita dah bincang tadi, ingat semuanya?” tanya mutawwifnya. Raisya mengangguk perlahan.
“Kalau dah sedia, mari kita mulakan tawaf,” sambung mutawwifnya.
Mutawwif itu kembali mengajak rombongan meneruskan perjalanan, namun Raisya masih tidak berganjak di hujung eskalator tadi. Matanya hanya diam melihat Kaabah dari jauh. Seorang demi seorang jemaah mula melangkah mengekori mutawwif mereka. Namun apabila lelaki itu menoleh ke belakang, dia menyedari Raisya masih berdiri di tempat yang sama. Dia memberikan isyarat kepada jemaah lain supaya menunggu sebentar, lalu kembali menghampiri Raisya.
“Awak.. ok tak?”
Raisya cuma diam seribu bahasa.
“Awak?”
Raisya menundukkan wajahnya. Langkahnya tiba-tiba berundur. Mutawwifnya kehairanan.
“Raisya..?”
Raisya cuma diam dan tetap berundur. Raisya kemudian berpaling, berpatah balik dan bergegas meninggalkan kawasan yang menuju ke Kaabah itu.
Mutawwifnya terdiam memandang ke arah Raisya yang semakin jauh menghilang di celah-celah ribuan manusia. Mahu saja mutawwif itu mengejar Raisya semula, dan mahu bertanya apa yang berlaku, namun dia sedar masih ada tujuh orang jemaah sedang menunggu dia untuk memulakan tawaf mereka. Perlahan mutawwif itu menghela nafas, dan mengajak rombongannya meneruskan perjalanan mereka mendekati Tuhan.

